Wednesday, May 6, 2015

Resepi nasi ayam






Entah kenapa saya tidak ada mood untuk memasak kebelakangan ini. Pertamanya kerana anak anak semua diet dan tak nak makan nasi. Keduanya kerana saya sendiri yang tiada mood untuk ke dapur. Entah lah terasanya sangat diri ini kosong dan sepi. Telah lebih dari 2 bulan, saya tidak ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Rasanya sejak Boy memulakan pengajian peringkat Ijazah. Sejak itu juga, hidup saya menjadi begitu sepi dan seperti tidak bersemangat. Beginilah hidup manusia yang ada masa nya suka dan ada masanya duka. Tapi saya akan cepat cepat memujuk hati dan mengingati Allah kerana dengan mengingatiNya sahaja lah hati akan menjadi tenang. Bila dalam keadaan stress, saya akan makan walaupun tidak lapar, saya akan keluar shopping walaupun tak tahu bila kainnya mahu ditempah. Bahaya sebenarnya keluar shopping di waktu stress kerana kita akan membeli sesuatu yang bukan keperluan pun. Sekarang kita masuk bab resepi nasi ayam yang saya mahu kongsikan hari ini pula.




Hari ini Nana masuk kerja sebelah malam, jadi dia memberitahu melalui WA famili yang dia ingin memasak nasi ayam untuk dimakan sewaktu berbuka puasa. Memang jadual dan waktu kerja dia agak pelik sedikit. Balik kerja petang dan pukul 9 malam masuk kerja lagi sekali, seolah bekerja 2 shif pula. Hmm mendengar beliau ingin memasak, saya cepat sahaja menyokong. Maklumlah dah lama tak makan di rumah. 

Jom layan resepi nasi ayam simple dimple tapi sedap dari hasil air tangan anakanda saya. Saya pun tak tahu dari mana Nana belajar resepi ini dan yang pasti ianya lainlah sedikit dari cara saya. Dia lebih yakin bila memasak, semuanya ikut gerak hati dia sahaja tanpa mengikut sukatan tertentu. Sambil dia memasak, saya hanya memerhati sambil mengambil gambar. Dalam hati terfikir, bilalah Nana akan menemui jodohnya bila asyik bekerja sahaja siang malam. Jodoh dan pertemuan semuakan telah ditentukan Illahi. Hmm ayat memujuk hati. Ooops terlebih sudah. OK lah sekarang kita layan resepi yang saya catit dari pemerhatian saya bila melihat dia memasak...



Nasi Ayam Dr Nana
Oleh: Azie Kitchen 

Kuah Sup
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
Air
Garam
Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
2 biji ubi kentang - potong dadu
Bawang goreng - tabur
Daun sup - tabur 

Panaskan air secukupnya. Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia kisar. Masukkan garam dan setelah menggelegak, masukkan ayam. Rebus sehingga ayam masak. Angkat ayam keluar dan toskan. Ketepikan sedikit air rebusan ayam untuk memasak nasi.

Di dalam kuali lain, panaskan sedikit minyak dan tumis rempah penumis sehingga naik bau. Masukkan air  rebusan ayam dan masak sehingga menggelegak. Kemudian masukkan pula kentang yang dipotong dadu. Setelah kentang lembut, masukkan bawang goreng dan tabur daun sup.


Nasi Ayam
3 pot beras - basuh dan tos
1 kiub ayam
2 ulas bawang merah - hiris
Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
Air rebusan ayam
1 helai daun pandan
2 sudu majerin

Panaskan kuali dan masukkan majerin, setelah panas masukkan bawang dan rempah penumis. Tumis sehingga wangi. 




Tuang bahan tumis ke dalam beras yang telah ditos. Masukkan daun pandan, kiub ayam serta sedikit serbuk kunyit ke dalam periuk nasi. Kemudian baru dituangkan air rebusan ayam secukupnya. Masaklah nasi seperti biasa.




Ayam Madu
Ayam 
Madu
Kicap
Sos tiram
Sedikit minyak jagung

Satukan bahan bahan di atas dan lumur pada ayam. Perapkan seketika sebelum digoreng dengan minyak yang banyak. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.



Sambal Cili 
3 batang cili merah
5 ulas bawang putih
1 biji limau nipis
Sedikit air
1-2 sudu besar gula
Sedikit garam

Kisar cili, bawang putih, air limau nipis dan sedikit air. Tuangkan ke dalam mangkuk. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Sedia untuk dihidangkan.


Sambal Kicap
Sos tomato
Sos cili
Kicap
Sedikit air perapan ayam, jika suka

Satukan semua bahan dan sesuaikan rasa. Siap untuk dihidangkan.


Sayuran
Daun salad
Timu 
Tomato





from Azie Kitchen http://ift.tt/1INmScW

No comments:

Post a Comment